Day 13 - A letter to someone who has hurt you recently
Erks?! Kepada siapakah surat ini aku mahu tujukan? Siapakah yang menyakitkan hati aku sejak akhir-akhir ini? Pengawal keselamatan kah? Jururawat kah? Pemandu motor / kereta kah? Hurm...~
Duhai pengawal keselamatan,
Tugas kamu untuk menjaga keselamatan. Aku faham kerja kamu itu termasuk mempersoalkan tindakan setiap orang untuk masuk dan keluar di dalam kawasan kamu. Tetapi, rasanya tindakan kamu itu tidak memerlukan suara yang lantang dan terpekik terlolong seolah-olah kamu berbicara dengan orang yang kurang pendengaran.
Bukankah lebih baik kalau kamu berbicara dengan tutur kata yang lembut, yang menyenangkan hati untuk mendengar.
Ada di kalangan kami yang risau dengan keadaan ahli keluarga kami yang dimasukkan ke dalam wad dan di dalam keadaan risau itu, otak kami tidak dapat berfikir antara yang baik atau sebaliknya. Kami sedar itu bukan waktu melawat untuk kami, tetapi disebabkan kerisauan itu, kami datang beramai-ramai untuk melihat keadaan dia. Dan di saat itu, mengapa perlu kamu meninggikan suara kamu menghalau kami, menghalau warga tua dengan begitu kasar. Di mana sifat perikemanusiaan kamu?
Mungkin, ada segelintir yang ingkar dengan larangan kamu tetapi bukan semua begitu. Kami faham apa yang kamu ingin katakan, biarpun dengan suara yang lembut.
Duhai jururawat,
Kami tidak minta kamu berada di sisi katil kami dua puluh empat jam sehari tidak berganjak tetapi cukup sekadar datang bila kamu dipanggil. Susah benarkah kamu untuk datang dengan wajah yang tenang dan manis, melayan kami dengan lembut dan baik memandangkan kami orang-orang yang hanya terlantar di atas katil, tidak boleh bergerak ke sana ke mari seperti orang lain?
Jawatan ini adalah pilihan kamu. Kamu sendiri yang pergi belajar selama tiga tahun untuk mendapatkan jawatan ini, bukan seperti kami yang tiba-tiba mendapat jawatan yang di luar permintaan kami. Semasa kamu memilih haluan ini, kamu seharusnya sedar bahawa ini yang akan kamu hadapi daripada seorang pesakit - jerit pekiknya, maki hamunnya, kesusahan untuk dia bergerak, luka-luka di badan yang mengerikan lagi menggelikan tekak, dll. Ini pakej yang datang bersama dengan pilihan kerjaya kamu. Seharusnya kamu sedar akan itu sedari menulis surat permohonan belajar kursus kejururawatan lagi.
Tetapi mengapa di saat kami meminta bantuan kamu, kamu membentak kami, kamu tidak mempedulikan kami, dan sedihnya, ada di kalangan kamu yang mengugut kami.
Sedarlah, ini pilihan kamu dan kerjaya ini seharusnya kamu buat dengan penuh keikhlasan, dengan penuh rasa tanggungjawab.
Duhai pemandu sekelian,
Sukar benarkah kamu untuk memberi lampu signal di kala kamu ingin menukar laluan?
Sukar benarkah kamu untuk memperlahankan kelajuan kenderaan kamu di laluan selekoh?
Sukar benarkah kamu untuk senyum kepada pemandu yang telah memberikan kamu laluan?
Tidak mahu berkata apa-apa lagi. Cukup.
Post a Comment