* Sigh* Maaf, aku tidak tahu mengapa aku selalu kebuntuan apabila memandang tajuk tag ini. Tahukah kamu yang aku telah menaip sebanyak empat kali untuk tag ini tetapi aku tidak menghabiskan ayat-ayat di bawah ini? Penyudahnya, aku biarkan begitu sahaja. Rasanya aku patut mengambil masa untuk menyudahkan segala tag aku yang bertangguh ini :)
* Oh ya, mungkin entri ini akan jadi sangat panjang lebar. Aku tidak kisah kamu tidak mahu membacanya sehingga ke penghujung kerana ini cerita berkenaan aku :)
Day 24 - A letter to your parents
Abah,
Dahulu, adik tahu adik anak yang nakal, keras kepala, degil. Adik selalu bangkang cakap abah. Adik selalu buat darah abah mendidih. Bila abah kata - " Jangan " - maka itulah perkara yang paling adik suka buat. Heh XD
Abah,
Dahulu, abah yang selalu membela adik di saat adik kena marah dengan mak, mulut kena cili dengan mak, kena pukul dengan mak gara-gara bersikap kurang ajar dengan orang lain. Abah yang selalu pujuk tangisan adik, lap air mata adik, peluk adik dengan penuh kasih sayang.
Abah,
Dahulu, adik selalu marahkan abah. Adik benci abah sebab abah selalu larang adik main bebas macam anak-anak orang lain. Adik benci abah sebab baru pukul enam petang, adik sudah dipanggil masuk ke dalam rumah. Adik benci abah sebab abah larang adik main di rumah orang. Adik benci abah sebab abah selalu tidak akan bagi adik pergi ikut rombongan sekolah. Adik benci abah bila setiap kali abah pukul adik bila adik degil sangat.
Abah,
Dahulu, adik ingat lagi semasa Tingkatan Satu, adik kemalangan. Dilanggar motor di hadapan masjid semasa hendak melintas jalan. Dengan luka separuh muka, tangan bercalar balar, kaki luka sana sini, adik merayu sangat kepada petugas di hospital supaya tidak maklumkan kepada abah. Adik takut abah marah adik lagi. Tetapi, adik tidak pernah lupa abah kelam kabut datang ke hospital dari tempat kerja. Abah cepat-cepat peluk adik dan tanya kenapa jadi macam itu. Abah belek setiap luka dekat badan adik dan peluk adik yang masih menggeletar semasa itu. Adik tidak pernah lupa kehangatan badan abah ketika itu yang membuatkan adik rasa selamat, rasa tenang sangat-sangat.
Abah,
Adik tidak pernah lupa macam mana getaran badan yang adik rasa semasa abah tumbang di ruang tamu ketika adik di Tingkatan Dua. Abah diserang sakit jantung. Mata abah rapat tertutup sehingga dipanggil oleh jiran pun tiada respon daripada abah. Adik rasa jantung adik berdegup laju ketika jiran mengucapkan kalimah syahadah ke telinga abah ketika itu. Abah dibawa terus ke Hospital Ipoh dan dimasukkan ke wad CCU.
Abah,
Ketika menginjak usia remaja, adik selalu curi-curi keluar ke tempat lain tanpa pengetahuan abah. Hati remaja memberontak mahu tengok dunia luar. Tetapi kerana takut abah tahu, adik cepat-cepat tunggu dekat depan pintu tempat abah kerja tepat pada masanya. Kalau terlambat sedikit, maknanya adik akan mendengar bebelan abah dari pekan sampai ke rumah :D
Abah,
Kadang-kadang, adik tertanya - " Kenapa abah tidak seperti bapa orang lain, punya kewangan yang kukuh, ada kereta untuk mengambil anak balik dari sekolah sedangkan abah hanya punya motor Honda Cup C70 sahaja " Kadang-kadang adik rasa segan dengan teman-teman yang lain sebab sehingga Tingkatan Lima abah setia menunggu di hadapan pagar sekolah tetapi adik tahu, adik anak manja abah. Jadi disebabkan itu, abah selalu risaukan adik. Disebabkan itu jugalah, abah sanggup ambil adik setiap hari di sekolah. Adik tidak pernah lupa macam mana adik berlari dari tingkat atas ke pintu pagar sekolah, bersaing dengan teman sekelas untuk berlumba siapa yang akan sampai dahulu ke motor bapa masing-masing. Rasanya kalau masuk pertandingan lari seratus meter pun boleh menang masa itu. Hehe :D
Abah,
Adik tidak pernah lupa air mata abah yang tumpah ketika abah hantar adik masuk ke universiti dahulu. Adik tidak pernah lupa abah mengah memanjat tangga hingga ke tingkat empat asrama semata-mata kerana mahu tengok keadaan bilik adik. Kasihan abah ketika itu.
Abah,
Bila di universiti, adik mula lupa dengan abah. Kadang-kadang adik mungkir janji dengan abah. Adik akan kata mahu balik hari Sabtu, tetapi kadang-kadang terlajak sampai ke hari Isnin baru mahu balik. Kasihan abah ketika itu, mesti abah tertunggu-tunggu adik kan? Adik selalu mendera abah, suruh abah ambil adik di pekan malam-malam. Adik seronok berjalan di Kuala Lumpur dan selalunya adik akan ambil bas paling lewat untuk balik. Penyudahnya, abah yang terpaksa menunggu di hadapan KFC lewat-lewat malam, tempat bas menurunkan penumpang.
Abah,
Adik tidak pernah lupa abah mengadu badan abah rasa kebas-kebas selepas jatuh dari motor di hadapan rumah beberapa hari sebelum itu. Abah mengadu semasa ambil adik malam itu. Itulah kali terakhir adik membonceng abah. Sampai sahaja ke rumah, adik pula membebel kepada abah kerana abah degil tidak mahu ke hospital untuk merawat kebas-kebas badan abah itu. Adik kata, esok biar adik yang bawa abah. Abah risau adik tidak ada lesen untuk membawa motor ketika itu tetapi adik bertegas, membuatkan abah mengangguk tanda setuju ketika itu.
Abah,
Keesokan harinya, adik bawa abah ke bahagian kecemasan hospital. Berdegup laju jantung adik ketika itu. Terasa badan abah terketar-ketar di belakang adik. Adik risau akan terjadi apa-apa kepada abah. Katanya petugas hospital, tekanan darah abah tinggi sedikit. Mungkin itu penyebab abah rasa pening dan kebas-kebas. Jadi, abah diberikan suntikan untuk merendahkan tekanan darah abah. Setelah berehat seketika, abah dibenarkan pulang untuk berehat di rumah. Adik mahu memanggil teksi tetapi abah kata, abah masih larat untuk menaiki motor. Adik bawa abah dalam kelajuan yang perlahan, risau kalau abah terjatuh di belakang.
Abah,
Sehari dua selepas itu, abah mengadu bahagian kanan badan abah rasa kebas sangat. Adik picit, tetapi abah tidak rasa. Mulut abah juga herot sedikit, percakapan abah mula payah untuk difahami. Adik mula menggelabah. Adik panggil jiran untuk bawa abah ke hospital. Di sana, abah dikhabarkan mendapat serangan angin ahmar. Adik rasa mahu terjelepuk di lantai ketika itu. Lalu, abah dimasukkan ke wad serta merta. Adik ingat lagi hari itu. Sehari sebelum puasa pada tahun itu, pada bulan Oktober.
Abah,
Semasa di wad, abah selalu mengamuk. Mengamuk gara-gara abah tidak boleh mengangkat anggota badan abah yang diserang angin ahmar, mengamuk gara-gara mak tidak faham apa yang abah ingin sampaikan. Abah cuma mahu adik duduk berdekatan kerana adik sahaja yang faham apa yang abah ingin sampaikan, biar kadang-kadang adik juga dimarah kerana tidak faham sebutir ayatpun yang keluar dari mulut abah.
Abah,
Rawatan di wad tidak sampai seminggupun, selepas itu abah dibenarkan pulang kerana kata doktor, penyakit angin ahmar tiada ubat melainkan pergi berurut atau senaman sendiri sahaja. Di rumah, abah lagi teruk mengamuk. Abah marahkan tangan abah yang kaku kerana tidak dapat memegang apa-apapun dengan baik. Adik tidak pernah lupa abah menangis bila menadah tangan memohon doa. Bukan sekali dua adik dengan mak dimarah ketika itu tetapi adik bertahan juga. Kalau tidak tahan, adik akan ke dalam bilik atau dapur untuk menangis. Adik tidak boleh menangis di hadapan abah sebab adik takut abah akan marah adik lagi.
Abah,
Dengan usaha abah yang tidak jemu bersenam dan dengan bantuan urutan, abah akhirnya boleh berjalan semula walaupun tidak sekuat dahulu. Syukur sangat-sangat. Adik rasa abah bertuah sangat kerana ada kawan-kawan yang boleh bergantung harap di masa susah.
Abah,
Hari raya tahun itu, abah menangis sebab adik yang terpaksa belikan semuanya untuk abah. Selalu, tiap-tiap tahun abah yang menyediakan segala keperluan tetapi pada tahun itu, disebabkan abah sakit, adik yang membelikan segala kelengkapan untuk abah. Rasa kelakar pun ada sebab adik boleh pakai kopiah yang adik hendak beli untuk abah di hadapan penjual, ukur menggunakan kepala sendiri. Haha :D
Abah,
Adik minta maaf. Adik adalah anak yang paling banyak main-main, tidak serius semasa saat bermaaf-maafan di pagi raya. Adik rasa perkara itu macam klise - minta maaf dan menangis. Macam drama swasta. Heh :P
Abah,
Pada bulan November tahun itu, mak mengadu abah buang air besar berdarah. Adik cepat-cepat suruh abah bersiap sebab adik mahu bawa abah ke hospital. Abah degil tetapi abah ikutkan juga arahan adik. Kelam kabut kita sekeluarga ketika itu. Sampai di bahagian kecemasan, doktor yang memeriksa kata di situ tiada cukup kelengkapan untuk pemeriksaan, maka dia mahu menghantar abah ke Hospital Ipoh untuk pemeriksaan lanjut. Bayangkan betapa kelam kabutnya adik dengan mak bersiap ketika itu. Kami berdua ikut sama naik ambulan, menemani abah sampai ke Hospital Ipoh.
Abah,
Setelah seminggu diperiksa, baru kami mendapat tahu bahawa abah mendapat kanser rektum atau kanser usus besar. Rasa luluh hati sangat-sangat ketika itu. Doktor mahu membuat pembedahan secepat yang mungkin kerana takut sel kanser yang masih di tahap permulaan itu akan merebak. Abah tidak mahu pembedahan tetapi adik bertegas mahu. Adik mahu abah sihat macam dahulu. Dengan segala risiko tinggi yang abah akan hadapi, adik pujuk abah untuk membuat pembedahan. Biar abah akan kembali sihat seperti sediakala.
Abah,
Itulah pertama kali adik dengan mak beraya di hospital. Hari Raya Aidiladha, hari abah dibedah. Doktor kata besar kemungkinan abah akan terus dimasukkan ke ICU sebaik sahaja habis pembedahan. Adik ingat lagi suara abah yang terketar pada pagi sebelum ditolak masuk ke dewan pembedahan meminta adik dengan mak tunggu abah sampai habis pembedahan.
Abah,
Lapan jam abah bertarung nyawa di dalam dewan pembedahan. Sedar-sedar, abah sudah ditolak masuk ke ICU. Luluh hati melihat wayar berselirat sana sini di badan abah. Adik tengok ada sedikit usus dikeluarkan di tepi perut abah, untuk membuang najis. Katanya doktor, itu hanya sementara kerana mahu merehatkan bahagian yang dibedah. Apabila semuanya sudah elok, usus tersebut akan dimasukkan semula.
Abah,
Selepas ICU, abah dimasukkan ke wad lain, untuk pemonitoran. Rasa lega yang bukan kepalang untuk adik dengan mak melihat keadaan abah yang semakin baik. Semasa inilah, adik sedar yang adik sedikitpun tidak menyesal melepaskan peluang untuk menghabiskan pelajaran di universiti. Mungkin itu bukan rezeki adik. Tidak apa. Adik ada abah, adik mahu jaga abah sebaik mungkin.
Abah,
Adik tahu abah marahkan adik gara-gara abah terpaksa pakai beg untuk buang najis abah. Abah kata, abah tidak akan pakai benda itu kalau abah tidak dibedah. Adik tahu itu salah adik sebab adik yang minta abah menjalani pembedahan. Tetapi kalau abah tidak dibedah, penyakit abah akan makin teruk. Adik tahu adik yang salah tetapi apa adik buat, semuanya untuk kebaikan abah.
Abah,
Adik berusaha membawa abah ke Hospital Ipoh untuk rawatan susulan, adik berusaha untuk usus abah dimasukkan kembali ke dalam tetapi kata doktor pakar, jantung abah sudah tidak kuat lagi untuk menampung satu lagi pembedahan besar sebab masa abah bedah untuk buang sel kanser dahulu, abah sudah diserang sakit jantung semasa di meja bedah. Jika abah dibedah lagi sekali, berkemungkinan besar jantung abah tidak boleh bertahan dengan kesan bius dan mungkin abah boleh meninggal dunia.
Abah,
Adik berusaha juga membawa abah ke Institut Jantung Negara untuk rawatan jantung abah. Kata doktor pakar, biar jantung abah diperbetulkan dahulu, baru boleh dibuat pembedahan. Abah ingat lagi tak kita duduk di wad yang sejuknya macam di luar negara? Abah ingat lagi tak kita kongsi makanan sama-sama di wad?
Abah,
Rupa-rupanya, jantung abah memang bermasalah. Tiga dari empat saluran sudah tersumbat teruk. Jadi, pembedahan jantung perlu dilakukan untuk kes begini. Tetapi abah kata, abah tidak mahu dibedah lagi. Kalau abah akan mati, biarlah abah mati. Itu kata abah. Adik anggukkan sahaja kata-kata abah, tidak mahu lagi memaksa abah seperti mana yang adik buat semasa pembedahan kanser usus abah dahulu. Adik biarkan abah yang membuat keputusan kali ini. Biarlah apapun yang terjadi, adik sanggup tanggung risikonya.
Abah,
Adik tidak pernah lupa wajah gembira abah bila abah mendapat tahu adik mendapat kerja. Abah tidak kisah walaupun jawatan itu bertaraf sambilan semata. Adik rasa segala penat lelah adik kerja seharian bermain panas di luar, berbaloi bila mana adik dapat memberi abah duit gaji adik sendiri, walaupun tidak sebanyak mana.
Abah,
Adik tidak pernah lupa suara gembira abah bila membaca surat tawaran kerja tetap yang adik terima tidak lama kemudian. Alhamdulillah adik mendapat kerja tetap akhirnya, mungkin berkat doa abah dengan mak selama ini. Tetapi abah, adik kena pergi bekerja jauh, tidak serumah dengan abah lagi selepas ini.
Abah,
Abah sanggup bersusah payah menghantar adik ke tempat adik akan bekerja. Adik tahu abah bangga adik akan bekerja di sini, biarpun jauh dari pandangan mata abah.
Abah,
Selepas bekerja di sini, adik seboleh-bolehnya tidak mahu terlepas balik ke rumah setiap hujung minggu. Biarlah apa orang kata, biar berapa kosnya, biar betapa penat berulang alik setiap minggu, adik akan pastikan yang adik akan balik ke pangkuan abah setiap hujung minggu. Biarlah cuti adik tidak disimpan untuk pencen nanti, janji adik boleh balik setiap minggu atau bila-bila sahaja abah perlukan adik untuk balik. Adik tidak mahu lagi abah tertunggu-tunggu adik di pintu seperti waktu adik di universiti dahulu. Adik tidak mahu lagi mengecewakan abah dengan mungkir janji.
Abah,
Adik tidak mahu terlepas saat-saat dengan abah. Pernah sekali, pada satu malam, adik terfikir, bagaimana kehidupan yang bakal adik lalui kalau abah dengan mak tiada lagi di dunia ini. Membuak rasa sedih secara tiba-tiba. Laju adik duduk di tepi abah yang sedang lena di atas katil, memandang wajah abah di dalam kesamaran lampu tidur. Masa itu, adik sedar betapa adik sayangkan abah. Sayang sangat-sangat-sangat.
Post a Comment