Write without regret by Devil Inc. at 9:52:00 AM, Friday, September 2, 2011
Abah,
Episod duka adik bermula apabila abah mengadu sakit telinga. Kata doktor, tiada pakar di hospital itu, maka dipindahkan kes abah ke Hospital Teluk Intan. Di sana, kata doktor pakar yang merawat, ada bengkak di dalam telinga abah, mungkin disebabkan tahi telinga yang mengeras di dalam. Dititiskan ubat, dibalut sebelah telinga, abah dibenarkan balik dan diminta datang seminggu kemudian.

Abah,
Selepas seminggu, abah datang semula ke hospital. Telinga abah dikorek, tahi telinga yang keras itu dikeluarkan. Tetapi kata doktor, ada bengkak di dalam telinga abah dan perlu dibuat pembedahan kecil untuk membuang bengkak tersebut. Abah bising tetapi adik dan doktor pakar meyakinkan abah pembedahan itu pembedahan luaran, yang tidak memerlukan abah ditolak ke dewan bedah.

Abah,
Ngilu rasanya bila melihat telinga abah disuntik dengan ubat bius dan doktor memotong bengkak di dalam telinga abah dua minggu kemudian. Kasihan abah, tentu sakit. Telinga abah sekali lagi dibalut.

Abah,
Seminggu selepas itu, kita jumpa dengan doktor pakar sekali lagi. Nasib baik semuanya okey, bengkak di dalam telinga juga sudah surut. Lega rasanya. Tetapi abah mula merungut tentang sakit kepala abah. Pelik juga. Adik cuba untuk bawakan abah berjumpa doktor pakar telinga sekali lagi. Katanya mungkin disebabkan oleh jangkitan kuman, jadi abah diberikan ubat antibiotik dan penahan sakit.

Abah,
Tidak senang adik duduk di sini bila mana mak mengadu abah selalu sakit kepala. Ubat penahan sakit yang dibeli oleh jiran juga tidak memberikan kesan. Adik belikan abah ubat di farmasi - ubat penahan sakit paling kuat. Kesannya cuma sementara pada abah, dua tiga jam kemudian abah sakit kepala lagi. Kata abah, sakit kepala yang teramat sangat. Mak beritahu, abah mula menghentakkan kepala ke dinding atau pukul kepala dengan gumpalan kertas surat khabar kerana sakit sangat. Adik picit kepala abah. Abah kata, lega sangat. Adik satu-satunya orang yang pandai picitkan kepala abah, kata abah.

Abah,
Adik bawa abah lagi ke hospital. Kata doktor pakar, ada kemungkinan sel kanser usus naik ke otak tetapi peratusannya cuma 1% dari kebanyakan pesakit. Doktor kata, cuba periksa dahulu dengan pakar pembedahan, mungkin ada pendapat yang lain. Adik tolak abah ke Klinik Pembedahan. Tetapi kata doktor, tiada apa-apa kelainan di kesan di kawasan perut abah. Jadi doktor di bahagian pembedahan kata adalah lebih baik masuk ke dalam wad untuk dibuat CT Scan - sama seperti yang doktor pakar telinga syorkan. Abah tidak mahu masuk ke dalam wad lagi, tegas abah.

Abah,
Luluh hati adik tengok abah menahan kesakitan. Adik pujuk abah, minta abah masuk wad. Kalau tidak mahu dibedah, adik tidak kisah tetapi sekurang-kurangnya, kita tahu apa dan dari mana punca sakit kepala itu. Abah risau siapa mahu jaga mak, siapa mahu jaga abah di wad. Adik kata adik sanggup korbankan cuti untuk jaga abah di wad. Abah angguk dan kata - " Kalau macam itu, bolehlah "

Abah,
Abah ingat lagi tak abah tiba-tiba berubah fikiran semasa kita di bilik kecemasan? Aduh, pening kepala adik dibuatnya. Malu pun ada dengan orang sekeliling bila abah berkeras tidak mahu masuk sedangkan di rumah, abah mahu masuk. Maaf, hari itu adik berkasar dengan abah di hadapan orang sebab adik tidak tahan marah. Dengan marah yang bersisa, adik tinggalkan rumah petang itu juga untuk balik ke sini.

Abah,
Abah mula minta macam-macam benda untuk dimakan. Air tembikai, nasik lemak, cendol, kuih. Abah kata abah sakit kepala sampai lidah tidak boleh merasa apa-apa rasa lagi. Mujur masa itu bulan Ramadhan, maka segala apa yang abah pinta adik boleh belikan di bazar Ramadhan. Adik tidak pernah gagal untuk dapatkan apa yang abah mahukan, biarpun abah cuma makan sesuap atau minum seteguk sahaja. Itupun sudah cukup untuk adik.

Abah,
Adik terpaksa bercuti awal sebab mengenangkan abah. Lagipun hari Isnin nanti ada temujanji di bahagian Xray untuk buat CT Scan abah. Sekali harunglah balik untuk raya yang bakal menjelang hujung minggu itu. Itupun tarikh yang paling cepat doktor pakar boleh dapatkan untuk abah sebab doktor pakar kata masa tidak sesuai. Almaklumlah hari raya mahu menjelang, semua orang sudah pakat-pakat mahu bercuti panjang.

Abah,
Luluh hati adik bila tengok abah terbaring menahan sakit bila adik sampai ke rumah. Baru tiga empat hari lepas adik balik, abah boleh lagi duduk di tepi katil. Tetapi hari ini adik balik, abah sudah terbaring di atas katil, tidak mampu untuk bangun. Abah mengadu abah tidak cucuk insulin sebab abah tidak boleh nampak nombor pada pen insulin. Adik periksa bacaaan gula abah. Mencanak naik ke dua puluh tujuh. Kelam kabut adik cucukkan insulin untuk abah. Selama ini, abah makan ubat sendiri, cucuk insulin sendiri. Sebab itu, semua orang di dalam rumah tidak tahu rutin abah itu melainkan adik seorang.

Abah,

Adik bawa balik air Yassin. Itu ikhtiar terakhir yang adik boleh buat untuk abah.
Sambil bagi abah minum, adik baca - " Ya Allah, jika Kau izinkan, sembuhkanlah penyakit bapaku dan jika tidak, Kau ambillah nyawanya jika itu yang terbaik untuk dia "

Abah,
Esoknya, adik pujuk abah untuk pergi ke hospital untuk buat CT Scan. Abah tidak mahu pada mulanya tetapi adik kata :

Adik : Abah, kita pergi untuk kali terakhir saja. Lepas ini, adik tidak akan bawa abah lagi ke hospital
Abah : Betul ke? Habis nanti, siapa hendak jumpa doktor, ambil ubat?
Adik : Adik pergi sendiri nanti. Adik akan cakap dengan doktor, adik akan ambil ubat-ubat abah
Abah : Betul ke?
Adik : Ini kali terakhir abah. Lepas ini, adik tidak akan paksa abah lagi. Lepas ini, abah boleh rehat dekat rumah saja. Inipun sekejap saja. Lepas xray, kita balik lah.

Berbekalkan ayat itulah abah hendak pergi ke hospital. Abah sudah tidak larat untuk berdiri tegak, adik yang terpaksa papah abah, dukung abah sampai masuk ke kereta. Sementara tunggu giliran, abah kata :

" Lepas ini, jangan pergi hospital lagi ya? Cukuplah, abah tidak mahu lagi "

Adik anggukkan sahaja kata-kata abah. Memang, adik tidak mahu seksa abah lagi, mengheret abah ke hospital. Biar apapun doktor cakap, biar adik yang dengar sendiri. Itu yang adik fikir.

Proses untuk CT Scan memang sekejapan cuma. Abah pelik.

Abah : Eh, sekejapnya?
Adik : Kan sudah adik kata, memang sekejap sahaja.

Abah pejam mata sepanjang perjalanan balik. Sakit kepala datang lagi, mungkin.

Selepas mendudukkan abah di atas katil, terdengar abah memanggil.

Adik : Kenapa?
Abah : Terima kasih
Adik : Kenapa pula?
Abah : Sebab bawa abah ke hospital hari ini.

Adik : Eh, kenapa pula? Eh, tidak ada apa-apalah.

Adik tinggalkan abah untuk beli barang di pekan. Adik singgah farmasi. Semua kelengkapan abah adik beli - beg najis abah, pelekat. Adik belikan lesung kecil untuk tumbuk ubat abah, adik risau kalau abah tidak boleh menelan ubat-ubat yang berbiji. Tiba-tiba entah kenapa di fikiran terlintas mahu membelikan tilam angin untuk abah. Adik risau kalau abah lama-lama terbaring atas katil, nanti belakang abah luka.

Abah,
Adik singgah ke kedai tilam untuk membeli tilam baru abah. Adik kasihan melihat abah baring di atas tilam bujang yang semakin menipis. Acap kali adik kata mahu menukarnya tetapi kewangan membataskan segala-galanya. Kali ini adik rasa macam tidak mahu bertangguh-tangguh lagi. Adik cuma mahukan keselesaan untuk abah.

Abah,
Petang itu, tilam baru sampai. Abah tidak mahu baring di atas tilam yang tinggi itu, kata abah nanti susah hendak turun tepi katil untuk kencing. Adik kata adik akan beli pemijak kaki, sama macam hospital punya nanti. Adik siapkan tilam baru abah, bentangkan tilam angin untuk abah, pasangkan cadar baru untuk abah - sesuatu yang adik akan buat tiap-tiap tahun.

Abah,
Hari itu, ada jiran sedekah pisang kepada abah tetapi abah tidak mahu pisang jenis itu sebab abah kata keras. Abah mahukan pisang minyak atau pisang emas. Mak kata, tunggu sampai adik balik, tunggu adik yang belikan. Abah sabar tunggu adik balik.
Keesokan harinya, adik laju pergi ke pasar dan cari pisang emas seperti yang abah mahukan. Balik dari pasar, adik tumbuk ubat-ubat abah dan masukkan ke dalam pisang. Adik bagi abah makan.

Abah,
Dalam rumah, abah yang paling mengambil berat tentang persiapan raya sebelum ini. Dalam kesakitan, abah masih bertanya persiapan raya. Lemang sudah dibeli ke belum, duit raya sudah ditukar ke belum, siap berpesan lagi duit raya hendak diagihkan kepada siapa.

Abah,
Hari Jumaat hari raya pertama pada tahun lepas. Dan kebiasaannya, adik akan mengemas sehari sebelum hari raya. Entah mengapa pada tahun lepas, adik mahu mengemas awal. Jadi, pagi-pagi lagi adik sudah pergi ke pasar untuk mencari ayam dan daging untuk mak masak. Semasa itulah adik mendapat panggilan daripada pihak hospital. Kata doktor pakar, keputusan CT Scan sudah diterima. Abah mendapat kanser otak peringkat akhir. Adik rasa macam langit jatuh menghempap kepala di saat itu. Doktor pakar mahu berjumpa adik tetapi bukan dalam masa terdekat, jadi, adik kata boleh jumpa hari Isnin akan datang, selepas raya.

Abah,
Adik mengemas dengan air mata, adik gosok langsir sambil pandang muka abah yang sedang baring di atas katil. Adik tidak sanggup memandang abah lama-lama, sayu rasa hati. Pukul empat petang, ada jiran datang bersembang dengan mak di tepi abah. Abah diam sahaja, seolah-olah tengah tidur. Pukul lima petang, ada jiran lain datang melawat. Luluh hati adik bila adik kena panggil duduk di luar dan dia kata - " Abang rasa, mungkin abah kamu sudah tidak lama lagi. Hidung dia sudah jatuh, sama macam arwah abah abang dulu "

Abah,
Adik laju-laju masuk ke dalam dan senget-senget kepala memandang rupa hidung abah yang dikatakan jatuh itu. Eh, elok saja. Ah, mata orang muda memandang memang lain bukan?

Abah,
Pukul lima setengah, makin ramai yang datang. Mungkin betul, abah mungkin sudah nazak. Nafas abah semakin laju, mata abah tidak memberikan sebarang reaksi, peluh dingin mula membasahi kulit abah. Makin ramai yang datang, makin bergema surah Yassin dibaca di dalam rumah. Adik duduk di tepi abah, ajar abah mengucap banyak-banyak. Sedih rasanya di saat itu. Orang ramai makin surut menjelang waktu berbuka puasa. Adik cuma minum seteguk dan adik kembali ke sisi abah, menemani abah.

Abah,
Andai masa itu abah sudah dipanggil Allah, adik redha. Hati adik bersedia melepaskan abah pergi. Tetapi menjelang tengah malam, teman abah tiba di rumah. Entah apa yang kumat kamit dibacanya sambil mengurut jantung abah, abah mula bernafas normal. Katanya - " Ini tidak ada apa-apa. Jantung dia tidak mengepam darah dengan elok. Jaga dia malam ini, jangan ditinggalkan keseorangan. Kalau betul dia hendak pergi malam ini, dia tidak berseorangan "

Abah,
Berbekalkan kata-kata itu, adik setia menunggu abah di tepi. Mujur abah ada reaksi mata, menunjukkan abah sedar. Sepanjang malam adik berjaga menunggu abah. Semasa waktu sahur, abah sudah lenjun dengan air kencing. Abah kata tidak sedar bila masa abah kencing. Adik salinkan kain abah, adik angkat abah, adik salin pelapik belakang abah.

Abah,
Keesokan harinya, adik mandikan abah. Dengan susah payah adik angkat abah ke bilik air. Adik mandikan abah, adik gosok badan abah - sama seperti yang adik buat selama ini.

Abah,
Tengah hari itu, adik pergi berjumpa doktor pakar. Rasa mahu terjelepuk jatuh bila tengok keputusan CT Scan abah. Doktor hanya mampu memberikan morfin sebagai ubat penahan sakit paling kuat. Jangka hayat abah pula paling tinggi cuma sebulan. Adik perlu bersedia menghadapi segala kemungkinan yang ada, adik perlu jadi kuat.

Abah,
Balik sahaja dari hospital, adik tengok abah sudah dipasangkan dengan tiub air kencing oleh teman kerja abah dahulu, orang yang adik sendiri telefon, meminta untuk memasangkan tiub tersebut. Mak kata abah asyik hendak menarik tiub, sakit mungkin.

Abah,
Hampir tengah malam, adik tanya abah :

Adik : Abah sakit sangat ke?

Abah angguk.

Adik : Adik ada ambil ubat dekat hospital tadi. Nanti adik bagi tengah malam nanti ya?

Abah angguk lagi.

Abah,
Adik makan di tepi abah malam itu. Selepas makan, adik masukkan duit raya ke dalam sampul. Abah terdengar bunyi geseran duit. Abah buka mata. Adik kata - " Ini duit raya, nak masukkan ke dalam sampul " Abah angguk, selepas itu abah pejamkan mata.

Abah,
Sengaja adik berikan morfin pada waktu tengah malam kerana mahu mengira masa dengan tepat. Kesan morfin paling maksima lapan jam. Dan berkemungkinan, pagi esok kesannya sudah hilang. Tidak sampai sejam selepas adik berikan morfin, dengkuran abah mula kedengaran - sesuatu yang adik sudah lama tidak dengar. Abah tidur lena, mungkin sakit abah sudah berkurangan, membuatkan abah senang tidur. Adik rasa lega sangat mendengar dengkuran abah di saat itu. Adik sambung mengisi duit di dalam sampul, menemani abah yang sedang dibuai lena.

Abah,
Di pagi raya, dengkuran abah masih kedengaran. Cuma tidak sekuat malam tadi. Adik kemas satu rumah, siap-siapkan mak dengan nyah. Adik orang yang paling terakhir mandi dan bersiap pagi itu, seperti biasa. Selepas mandi, adik gerakkan abah. Abah masih berdengkur. Adik teringat kata-kata doktor pakar yang kesan morfin pada abah mungkin mengambil masa yang lama sedikit. Almaklum lah orang tua. Adik biarkan abah tidur sebentar lagi.

Abah,
Ada jiran, ada teman yang datang menjengah di pagi raya. Tetapi abah masih tidur. Adik tunggu sampai tengah hari pun abah masih tidur. Bila menjelang pukul dua petang, adik mula rasa tidak sedap hati. Mana mungkin empat belas jam kesan morfin itu ke atas abah. Adik mula kelam kabut menelefon doktor pakar abah. Doktor pakar kata mungkin abah yang tidak sedarkan diri. Kalau dalam masa satu jam lagi abah tidak sedarkan diri, doktor mengesyorkan untuk dibawa ke bahagian kecemasan.

Abah,
Sampai pukul empat petang abah tidak sedarkan diri lagi walau dipanggil berkali-kali. Adik menelefon bahagian kecemasan dan tidak lama kemudian, ambulan datang ke rumah. Teman kerja abah dahulu menggerakkan abah tetapi masih tiada respon. Dilihat pada anak mata abah, katanya, masih ada kesan morfin. Abah perlu dibawa ke hospital supaya doktor boleh memberikan ubat untuk menstabilkan kesan morfin tersebut. Kelam kabut adik mengikut abah naik ambulan sama.

Abah,
Sepuluh minit menunggu di ruang menunggu memang sangat menyeksakan. Doktor memanggil masuk ke dalam. Katanya, kesan morfin sudah tidak ada pada abah. Secara teorinya, kesan morfin sudah tiada pada waktu tersebut. Sekarang, abah tidak sedarkan diri disebabkan sistem sarafnya sudah tidak berfungsi. Disebabkan itulah dia tidak memberikan sebarang reaksi bila dipanggil. Cuma boleh nampak abah menyeringai sakit bila diangkat bahagian badannya. Kata doktor, abah berkemungkinan boleh berada di dalam keadaan yang lebih teruk - sampai ke tahap macam orang koma, cuma boleh bernafas sahaja. Jadi, adik dan ahli keluarga yang lain kena bersedia menghadapi kemungkinan itu. Doktor cuma boleh bagi cadangan supaya abah dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk memasukkan tiub ke dalam perutnya bertujuan untuk memudahkan penyaluran makanan.

Abah,
Mak tidak setuju untuk membawa abah ke sana. Puas diyakinkan tetapi mak kata, abah sudah pesan bahawa abah tidak mahu dibawa ke hospital kalau ada apa-apa terjadi kepada abah. Adik akur dengan pesanan akhir abah, lalu abah dibawa balik ke rumah.

Abah,
Di rumah, abah kembali ada reaksi walaupun tidak secergas mana. Malam itu adik tertidur di atas sejadah, lengkap bertelekung. Adik tersentak dari tidur, kelam kabut adik tengok abah. Mujur abah masih lagi bernafas.

Abah,
Pagi itu, adik lap abah bersih-bersih. Adik bedakkan abah, adik potong kuku abah, adik minyakkan rambut abah, adik cukur janggut dan misai abah - tidak kurang sedikitpun seperti yang adik buat sebelum ini. Sambil itu, adik bersembang dengan abah. Adik kata - " Marilah cukur janggut abah, nanti kalau orang datang, nampak bersih. Tidaklah comot " Abah cuma kelipkan mata. Mak kata adik buat abah macam bayi. Heh :)

Abah,
Adik berikan abah susu dan nestum - satu-satunya benda yang abah boleh telan masa itu. Adik tepuk-tepuk dada abah, minta abah telan sebab takut air berkumpul di tekak, nanti abah tersedak. Terdengar bunyi degukan air yang turun di tekak abah. Hari itu, abah boleh telan hampir tiga per empat dari cawan. Elok sahaja abah habis menelan, adik bersiap-siap mahu keluar menjual surat khabar yang sudah disusun pagi itu. Adik meminta mak tolong menemani abah sebentar.

Abah,
Jam menunjukkan pukul sebelas lima puluh pagi. Sebelum keluar, adik berikan abah air Yassin. Adik tepuk dada abah, minta abah menelan. Adik dengar degukan air yang pertama tetapi selepas itu senyap. Adik tepuk dada abah lagi. Senyap. Adik mula menggelabah. Adik periksa nadi abah di tangan. Tiada denyutan. Adik periksa urat nadi di tengkuk abah. Pun tiada denyutan di situ. Adik periksa urat nadi di kaki abah. Senyap. Adik letakkan jari di hujung hidung abah. Tiada dengusan nafas di situ. Adik angkat tangan dengan kaki abah. Selalunya abah akan menyeringai sakit tetapi kali ini abah statik, tiada apa-apa reaksi.
 
0 Comments:

Post a Comment





Post a Comment