Sebelum ini, seram sejuk rasanya bila memikirkan bagaimana masa hadapan aku setelah aku meninggalkan zon selesa yang selama ini begitu enak didiami? Jujur, memang entah berapa ratus kali aku memikirkan betapa susahnya hendak meninggalkan zon selesa yang aman damai lagi sejahtera macam Kampung Pisang ini. Eh.
Berbolak balik rasanya hati bila mahu menukar haluan setelah hampir lapan tahun tidak mengasah otak. Hati dan minda nyata tidak selari dalam membuat keputusan kali ini [ dan selalunya memang begitu pun kan? ]
Banyak persoalan yang muncul di dalam otak, tertanya-tanya :
1. Mampukah aku menggalas tanggungjawab ini bersama-sama dengan pikulan tanggungjawab yang sedia ada?
2. Mampukah otak aku menyerap ilmu seperti otak kanak-kanak, seperti span menyerap air?
3. Mampukah aku menongkah arus yang ditunjangi oleh si muda belia belaka?
Serius memang aku teragak-agak dalam membuat keputusan. Tetapi aku rasa ini lah masanya untuk merubah keadaan, untuk mengubah sesuatu yang telah lama aku impikan.
Maka, dengan berat hati, dengan menggigil tubuh ini [ YA, itu lirik lagu New Boyz - Meraung :P ], aku nekad untuk mengharungi kehidupan baru aku - bergelar seorang pelajar. Haha :)
Maaf kerana tidak berterus terang mengenai kehidupan baru aku. Hanya segelintir saja yang mengetahui lantaran aku tidak begitu selesa untuk menghebahkan sesuatu yang masih belum di dalam genggaman aku. Ah, apa saja boleh berlaku kemudian hari. Maka, aku rasa lebih baik diamkan saja. Lagipun aku cuma menyambung apa yang tertangguh, bukannya menjulang duduk di takhta. Tidak ada apa yang mahu dibangga-banggakan.
Bila bermulanya kehidupan baru, baru aku sedar :
Bukan mudah untuk menjadi seorang yang agak berumur di kalangan si muda belia.
Bukan mudah untuk mendapatkan rentak belajar setelah lama meninggalkan.
Bukan mudah untuk menahan kantuk mata ketika sesi kuliah dimulakan.
Bukan mudah untuk mengenepikan tanggapan negatif kebanyakan pihak.
Tekanan yang datang bukan calang-calang, kadang-kadang makan dalam juga dibuatnya. Sudah lama duduk di zon selesa, dimanja, tetapi sekali dibuka mata melihat semua, nyata kehidupan yang dilalui kini bukan sesenang yang diimpi.
Tidur mula tidak menentu, makan juga mula bercatu.
Sungguhpun begitu, fikiran menjadi agak lapang kalau hendak dibandingkan ketika bekerja dulu. Tidak ada masalah bergaduh dengan jadual kerja, tidak ada masalah dengan orang atasan lagi. Cuma sekarang kadang-kadang lelah menghadap kerenah mereka-mereka yang berasa mereka yang paling tinggi kedudukannya, paling agung antara khalayak ramai.
Ah, mana-mana pun wujud golongan tipikal begini. Mahu tidak mahu, telan kan saja.
Itu saja caranya.
Baru mula pun, sudah mengeluh. Entah bagaimana perjalanan yang akan datang. Harapnya dipermudahkan oleh-Nya.
Itu saja yang aku harapkan sekarang ini, itu yang selalu aku doakan usai solat, sepanjang waktu.
" Jika benar ini jalan yang ditetapkan untukku, maka permudahkannya untukku Ya Rahim "
Aja aja fighting! (^_^)V
P/s : Berdebar mahu peperiksaan awal bulan hadapan - tetapi aku tetap dengan perangai belajar di saat-saat akhir. Ah, bila mahu berubah! (=_=")
P/s/s : Selamat ulangtahun keempat Aed sayang :) Semoga sentiasa ceria dan akan menjadi anak yang solehah, yang akan memayungi kedua ibu bapamu di syurga kelak. Amin :')
Post a Comment