Write without regret by Devil Inc. at 10:27:00 AM, Friday, September 2, 2011
Abah,
Adik menjerit memanggil mak yang baru menyuap makanan di dapur. Adik menjerit panggil nyah, minta dia memanggikan jiran. Kelam kabut jiran datang menjengah. Diperiksa nadi abah berkali-kali. Ditepuk bahu adik dan terdengar dia mengucapkan - " Innalillah hiwainnalillah hirojiun, abah kamu sudah tidak ada lagi adik " Diraup muka abah, diletakkan tangan abah di atas perut dan diminta kain batik lepas untuk menutup abah. Adik menangis peluk abah. Adik rasa dunia ini berpusing, rasa gelap. Adik peluk mak dan nyah kuat. Adik tidak mahu menjadi lemah ketika itu sebab adik kena kuat untuk mak dan nyah.

Abah,

Kelam kabut adik dibuatnya pada hari itu. Dengan pengurusan jenazah, dengan pembayaran barang-barang, dengan pengurusan duit, dengan telefon yang asyik berdering, dengan kedatangan orang ramai lagi. Sayu hati semasa membacakan Yassin untuk abah yang terbaring kaku di tengah rumah. Rumah kita bergema dengan bacaan Yassin ketika itu.

Abah,

Hati adik luluh sangat-sangat di saat mandikan jenazah abah. Adik ingat lagi saat-saat adik mandikan abah setiap kali adik balik ke rumah, bezanya di saat ini abah terbaring.

Abah,
Di luar, orang kalut secara tiba-tiba kerana kata mereka, tiada orang untuk mengorek liang lahad. Hari itu hari raya kedua, semua orang masih berada di kampung. Tetapi kekalutan itu tidak sampai lima minit, tiba-tiba dikhabarkan ada orang yang akan mengorek liang.

Abah,
Semerbak bau kapur barus di dalam rumah. Abah mula dikafankan. Bau minyak attar kegemaran abah mula menusuk deria bau. Anak-anak abah dipanggil untuk mengucup abah buat kali terakhir. Perlahan adik melutut di tepi abah. Adik panggil salam. Adik kucup dahi abah yang dingin. Lama. Adik tidak akan dapat kucup abah lagi selepas ini. Adik seka air mata yang mengalir supaya tidak jatuh, tidak mahu menyeksa jenazah abah.

Abah,
Hati adik pedih sangat bila melihat muka abah ditutup. Itulah kali terakhir adik akan memandang abah.

Abah,
Alhamdulillah, proses mengorek liang lahad berjalan lancar. Adik dengar tiba-tiba ramai anak-anak saudara, cucu-cucu saudara, anak-anak angkat abah datang menolong. Terasa segala urusan terakhir abah dipermudahkan. Alhamdulillah.

Abah,
Selesai kesemuanya, abah dibawa ke surau untuk disembahyangkan. Dan alhamdulillah juga kerana tidak menunggu lama kerana tidak sampai lima minit, waktu Asar pun masuk. Jemaah menunaikan sembahyang Asar dan selepas itu sembahyang jenazah untuk abah. Adik jumpa teman lama abah, yang datang mengurut dada abah di malam abah nazak. Dia pandang adik dalam. Katanya - " Sabarlah, sudah sampai janji dia " Selepas itu, abah dibawa ke tanah perkuburan.

Abah,
Satu per satu urusan abah adik perhatikan. Dari saat turunnya jasad abah ke dalam liang, dibukakan penutup muka, dibaringkan di dalam liang sampailah dikambuskan. Terasa hati sayu sangat-sangat tetapi air mata mula kering. Adik rasa lega sangat, rasa bersyukur sangat kerana segala urusan abah dipermudahkan.

Abah,
Hati adik rasa kosong saat talkin dibacakan. Hati adik sayu semasa mencurahkan air mawar ke pusara abah. Hati adik rasa berat hendak melangkah pergi meninggalkan abah keseorangan. Entahlah, macam-macam yang ada di fikiran adik ketika itu.

Abah,
Rumah kita rasa kosong sangat di saat adik balik dari tanah perkuburan. Adik baring di atas katil abah. Semasa itulah baru tumpah segala air mata yang bertakung. Rasa sunyi sangat-sangat.

Abah,
Malam itu adik tidak dapat melelapkan mata. Terasa macam abah ada di sisi lagi. Penyudahnya, adik berjaga sampai ke pagi.

Abah,
Keesokan paginya, adik jenguk abah di tanah perkuburan. Sunyi rasanya :'( Petang itu, adik berbual dengan jiran. Katanya :

" Hari itu, orang yang mandikan jenazah abah kamu kata senang sangat hendak mandikan abah kamu sebab abah kamu sudah bersih. Janggut semua bercukur, kuku sudah pendek, badan sudah bersih. Kerja jadi cepat "

Lega rasanya mendengar ayat itu. Walaupun adik tidak dapat mengambil bahagian semasa memandikan abah, sekurang-kurangnya adik sudah buat tanggungjawab itu sebelum abah pergi :')

Abah,
Bila hampir sebulan abah pergi, adik mimpikan abah.
Masa itu, adik nampak muka abah bersih sangat-sangat-sangat-sangat. Abah duduk berhampiran dengan pintu dengan baju t-shirt dan kain pelikat. Kata abah :
" Abah sudah tidak sakit lagi, sakit yang dulu-dulu, semua sudah tiada, semua su dah hilang. Yang dulu urut-urutpun semua sudah tidak sakit lagi "
Adik bangun dengan air mata. Rindu sangat pada abah :'(

Abah,
Kini, adik menghitung hari permergian abah. Setiap hari. Jujurnya, hati adik masih rindukan abah. Rasa abah masih berada berhampiran adik, memerhatikan setiap gerak geri adik.

Abah,
Maaf. Adik dibesarkan dengan penuh sifat kelelakian. Ego melambung. Adik tidak tahu bagaimana untuk meminta maaf secara berdepan, mengucapkan kasih sayang seperti anak-anak orang lain buat kepada ibu bapa mereka, membelai dengan penuh manja tetapi adik mahu abah tahu, walau tidak terucap sepatah kata, adik sebenarnya sayang pada abah. Sayang sangat-sangat-sangat.

Abah,
Biar abah meninggalkan adik bertahun-tahun lamanya selepas ini, adik mahu abah tahu, adik tidak pernah dan tidak akan sesekali melupakan abah. Ingatan adik pada abah sampai hembusan nafas adik yang terakhir.

Abah,
Maaf sekiranya ada kekurangan, ada kesilapan di setiap layanan adik selama ini. Maaf sekiranya adik tidak mengikut acuan yang abah mahukan selama ini. Maaf sekiranya adik mengasari abah selama ini. Maaf sekiranya adik tidak menjadi anak yang baik untuk abah selama ini. Maaf atas setiap satunya.

Abah,
Maaf sebab tidak dapat menjenguk abah di pusara untuk kali pertama Aidilfitri ini. Bukan niat mahu membelakangkan abah tetapi adik punya tanggungjawab lain untuk dilunaskan. Insyallah, adik akan pulang menemui abah pada sepuluh hari bulan nanti. Kita jumpa nanti ya? :')

Abah,
Setiap hembusan nafas adik, ada nama abah,
Setiap titisan air mata adik, ada nama abah,
Setiap titipan doa adik, ada nama abah.

Abah,
Adik akan selalu berdoa untuk abah, setiap masa, setiap detik. Sampai jumpa lagi satu ketika nanti di sana.


Al-Fatihah buat abah yang tersayang,
11 September 2010.

 
0 Comments:

Post a Comment





Post a Comment