Entah kenapa sejak akhir-akhir ini, aku teragak-agak untuk menulis. Bukan tidak ada cerita yang mahu dikisahkan tetapi entah kenapa aku seperti teragak-agak. Ditulis sepatah, dipadam balik pun sepatah. Akhirnya, satu apapun tidak ditulis (-________-")
Sekarang sudah masuk musim orang sibuk hendak buat penyediaan untuk Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang. Aku? Rasanya tidak ada apa-apa perbezaan untuk aku. Tahun ini serasanya masih di sini. Jadi tidak akan ada apa-apa persiapan memandangkan hanya kami anak beranak sahaja di sini.
*Makan Pizza Hut di pagi raya pun best juga :D
Dan oh, sekarang juga hampir dengan musim perkahwinan. Ada seorang dua sudah menjemput datang ke kenduri tetapi malangnya, aku tidak dapat hadir (╥_╥)
Bila bercerita tentang perkahwinan, entah kenapa dari kecil lagi aku fikir satu ayat sahaja - KEHILANGAN. Serius.
KEHILANGAN.
Aku ingat lagi semasa perkahwinan abang aku, anak nombor tiga. Aku masih dalam Darjah Empat kalau tidak silap ketika itu. Fikiran pun masih keanak-anakan. Ketika itu, aku memang bencikan kakak ipar aku. Semasa abang aku dalam zaman bercinta, dapat lah juga hadiah kecil-kecil tapi aku conteng-contengkan sahaja pemberian itu. Aku tidak sukakan kakak ipar aku [ semasa itu, bakal kakak ipar lah ].
Sebabnya cuma satu - aku rasa aku akan kehilangan abang aku. Aku fikir, kalau dia sudah berkahwin nanti, dia akan jadi hak milik orang lain. Kalau dia sudah berkahwin nanti, dia tidak akan balik ke rumah seperti biasa. Kalau dia sudah berkahwin nanti, mesti dia tidak akan pedulikan aku lagi, sibuk dengan keluarga dia. Yalah, adat si anak bongsu, mahukan semua perhatian untuk dia.
Aku ingat lagi aku buat tidak peduli dengan kakak ipar aku kalau dia datang ke rumah. Tidak mahu bercakap bila ditanya. Sengaja meminggirkan dia. Tetapi lama kelamaan, aku sendiri boleh terima hakikat yang abang aku sudah berkahwin. Itupun selepas setahun lebih :)
Walaupun begitu, aku tetap seriau bila memikirkan tentang perkahwinan. Perkataan kehilangan itu tetap sinonim dengan perkahwinan bagi aku.
Jujur, aku sangat mementingkan sesuatu ikatan - tidak kira persahabatan atau kekeluargaan. Bagi aku, perkahwinan seharusnya tidak memutuskan ikatan, malah seharusnya mengembangkan lagi ikatan. Itu bagi aku.
Pengalaman sebenar : Aku sanggup memutuskan ikatan cinta aku hanya kerana si dia tidak dapat menerima keluarga aku seadanya.
Tetapi, lama kelamaan, aku rasa macam teori Pitagoras perkahwinan aku itu ada betulnya.
Ramai saudara mara, sepupu, kawan-kawan sekolah yang sudah berkahwin, dan nyata, semuanya bagai mengiakan teori aku.
Sebelum berkahwin, semuanya bermulut manis - " Selepas berkahwin, aku tetap akan jadi orang yang sama "
Tetapi yang sebaliknya berlaku.
Bila sudah berkahwin, aku faham, ada hati yang perlu dijaga, ada kata yang perlu diturut perintahnya tetapi aku tidak rasa orang sekarang ini berfikiran kuno sangat sampai mahu dikongkong segala untuk pasangannya.
Kongkongan itu perlu tetapi aku rasa ada hadnya. Kalau tidak, lebih baik dicop pak turut dan mak turut. Bagai burung belatuk, mengangguk sahaja.
Okey, mungkin aku berfikiran moden sedikit. Alah, aku tahu kamu, kamu dan kamu akan berkata - " Tak kahwin lagi, boleh lah cakap. Nanti sudah kahwin, baru tahu "
Tetapi jujur aku kata, aku rasa cuba ada baiknya kekalkan perhubungan yang ada walaupun setelah kamu berkahwin.
Perkahwinan itu bukannya pemutus perhubungan tetapi penyambung perhubungan.
Post a Comment