Mak,
Maaf. Adik tidak punya kata-kata panjang untuk dicoretkan bila tiba bahagian mak. Mungkin disebabkan terlalu banyak kata-kata dihabiskan untuk bahagian abah, jadi tidak punya idea yang panjang untuk dicoretkan tentang mak.
Mak,
Maaf. Kadang-kadang adik selalu berdegil. Adik tidak mahu mendengar kata-kata mak. Tetapi itu tidak bermakna adik lupa apa yang mak pesan :)
Mak,
Adik tidak pernah lupa jasa mak berjaga siang malam semasa adik demam. Melayan setiap kerenah adik, menangis setiap kali badan adik panas membahang.
Mak,
Adik tidak pernah lupa mak yang tidak pernah gagal memasak untuk keluarga kita. Biarpun tidak semewah seperti keluarga lain, biar tidak beraneka juadah seperti keluarga lain, tetapi itu air tangan mak, sedap walaupun telur goreng sahaja.
Mak,
Adik tidak pernah lupa mak bersusah payah bekerja siang malam untuk membantu abah menampung keluarga. Adik tidak pernah lupa mak bangun awal pagi untuk membuat kuih untuk dijual.
Mak,
Adik tidak pernah lupa mak berpenat lelah menjaga abah ketika abah sakit dahulu. Ya, mungkin terselit sedikit kemarahan ketika menjaga dia tetapi adik tidak pernah lupa betapa sayunya wajah mak ketika menatap wajah kaku abah. Mak hilang tempat bermanja, tempat berkasih sayang yang sekian lama menemani mak.
Mak,
Adik tahu mak tidak mahu menyusahkan adik biarpun mak menahan sakit. Tetapi adik tidak mampu melihat keadaan mak sebegitu rupa. Hati adik luluh melihat mak begitu. Biarlah apa orang mahu kata, biarlah habis beribu pun belanjanya, biar adik terpaksa bersengkang mata berjaga, asalkan mak berada dalam keadaan yang selesa.
Mak,
Maaf. Adik di luar kemampuan untuk bawa mak pulang ke rumah kita tetapi adik janji, satu hari nanti kita akan pulang ke sana juga.
Mak,
Maaf. Kadang-kadang, adik tidak punya kata-kata untuk mak. Maaf kalau kata-kata adik mengguris hati mak, maaf kalau kelakuan dan layanan adik mengasari mak.
Mak,
Adik sayang mak. Sangat.
Post a Comment