Write without regret by Devil Inc. at 2:05:00 PM, Thursday, May 27, 2010
Mode : Ayat Bahasa Malaysia penuh (=.=)

Aku mahu jadi seorang yang sempurna buat kamu tapi aku bukan malaikat, makhluk yang tak pernah gagal menurut kata. Aku bukan Muhammad, manusia sempurna ciptaan Dia.


Hidup ini sebenarnya satu perjuangan.

Kamu pernah dengar ayat itu bukan? Ayat tipikal.

Kamu berjuang untuk hidup, kamu berjuang untuk mendapatkan perhatian daripada seseorang, kamu berjuang untuk menegakkan pendapat kamu, dll.


Aku?
Berjuang untuk menjadi seorang yang sempurna di mata orang lain.

Yeah, aku punya kelemahan dan kekurangan. Semua orang pun punya sifat nan satu itu. Tapi ada segelintir pihak yang tak mahu menerima kekurangan itu. Mereka hanya mahu kesempurnaan tanpa menyedari kekurangan itu juga ada dalam diri mereka. Mereka tidak mahu mendengar sebarang alasan untuk ketaksempurnaan itu.
Kadang-kadang aku terfikir - sempurna benarkah kamu untuk menilai kesempurnaan orang lain?

Mata orang lain tidak pernah gagal untuk menilai kamu. Itu fakta. Apa saja yang kamu buat pasti mendapat penilaian daripada orang lain - sama ada kamu sedar atau tidak. Perkara seremeh, contohnya cara kamu berjalan pun boleh dinilaikan.
Contohnya :

" Aku tengok si polan tu jalan kengkang betul "

Nampak apa yang aku cuba sampaikan?


Aku juga berjuang untuk mendapatkan kesempurnaan itu tapi lama kelamaan aku lelah. Lelah kerana setiap usaha aku itu tidak mendapat perhatian yang sepatutnya. Kadang-kadang segala usaha tu macam dicurahkan ke longkang je.

Aku percaya, dekat pejabat, kamu akan jumpa orang yang kaki kipas, suka mengadu domba, dan lain-lain. Tidak pernah aku dengar satu pejabat itu tersangat aman daripada orang sebegini. Orang-orang yang beginilah yang sangat disayangi oleh orang atasan. Kamu yang menjadi orang bawahan akan menjadi semakin tertekan.

Aku juga percaya, dekat kawasan perumahan kamu, kamu akan jumpa orang-orang yang suka menyampai-nyampaikan cerita. Segala tindakan kamu akan jadi perbualan. Kamu yang kurang bergaul, akan menjadi bahan cerita untuk semua.

Kawan-kawan juga begitu. Jika kamu tidak boleh bergaul mesra, maka kamu akan dipulaukan.

Aku juga begitu. Sebab itulah aku katakan yang aku sebenarnya berjuang untuk menjadi seorang yang sempurna di mata orang lain.

Aku cuba menjadi pekerja yang baik.
Aku cuba menjadi jiran yang baik.
Aku cuba menjadi kawan yang baik.
Aku cuba menjadi anak yang baik.

Segala usaha cubaan itu, mungkin hasilnya nampak sempurna untuk aku tetapi di mata pihak yang lain, itu belum cukup sempurna bagi mereka.

Kadang-kadang aku terfikir - kesempurnaan yang bagaimanakah yang kamu mahu lihat daripada orang lain?

Sempurnakah kamu kalau kamu asyik mengadu fasal orang lain kepada pegawai kamu sedangkan kamu tidak boleh melakukan apa yang pegawai kamu arahkan dan cuma duduk bergoyang kaki sahaja di pejabat?

Sempurnakah kamu kalau kamu asyik menjaja cerita orang lain dan mencari kesilapan orang lain untuk diketawakan sedangkan kamu sendiri punya cerita buruk untuk disorokkan dari pengetahuan orang lain?

Sempurnakah kamu kalau kamu asyik memboikot kawan-kawan yang tidak boleh masuk dengan kumpulan kamu dan mengata di belakang mereka sedangkan kamu melenting bila kamu diboikot oleh pihak lain?

Sempurnakah kamu kalau kamu katakan bahawa kamu lebih menjaga keluarga kamu daripada orang lain sedangkan kamu asyik menghabiskan masa dengan kawan-kawan yang lain?

Sempurnakah kamu kalau kamu asyik mencanangkan keburukan orang lain sedangkan kamu juga punya keburukan yang kamu sendiri tidak mahu orang ketahui?

Soalnya - Sempurnakah kamu?

Aku bukan manusia yang sempurna tapi aku cuba untuk menjadi yang sempurna untuk kamu :)
 
0 Comments:

Post a Comment





Post a Comment