Write without regret by Devil Inc. at 11:24:00 AM, Friday, August 24, 2012
Okey, sepatutnya aku menaip tentang ini sedari hari pertama bekerja selepas raya - hari Rabu lepas tetapi dasar pemalas, memang lambat lah :P

Ya, aku sudah mula bekerja pada hari Rabu, hari keempat raya :)

Aku rasa aku tidak perlu mengambil cuti hanya semata-mata untuk duduk di rumah. Tahun ini masih beraya di sini, jadi aku memang tidak ke mana-mana dan secara tidak langsung, aku tidak memerlukan cuti. Boleh jimat cuti sedikit :D

Disebabkan aku sudah terbiasa bekerja pada hujung minggu, maka datang bekerja pada waktu-waktu begini di mana semua orang bercuti panjang tidak mendatangkan masalah untuk aku. Jujur, aku lebih suka bekerja di dalam keadaan begini. Tenang.

Di pejabat masih sunyi sebab semua orang ambil cuti panjang, sampai hujung minggu ini. Minggu depan riuh lah balik sebab semuanya sudah kembali bekerja.

Dan ini situasi yang aku ceritakan di dalam status Facebook aku :


Jumpa entah berapa orang hari ini yang asyik mengulang ayat yang sama - " Buat apa kamu dalam pejabat tu, balik saja lah, semua orang pun buat macam tu "

Aku cuma senyum saja sambil menjawab pendek - " Tak apa, namapun kerja. Kena duduk di pejabat "

Bila tak tahan disogok dengan ayat yang sama, orang terakhir yang berkata begitu mendapat jawapan begini daripada aku:

" Tak apa. Nanti kurang satu soalan nak jawab dalam kubur "

*Tiba-tiba bunyi cengkerik*

:) 


Tak apa. Nanti kurang satu soalan nak jawab dalam kubur.

Maaf lah, aku bukan lah orang alim ulamak bijak bestari untuk berhujah tentang agama. Aku juga tidak layak untuk bercakap pasal integriti, pasal segala hadis berkaitan. Aku sendiri pun masih bertatih, banyak cacat celanya.

Aku faham di waktu cuti begini, ada yang ambil kesempatan untuk mengelat. Datang hanya semata untuk ketik kad perakam waktu [ BACA : punch card ]. Tipulah kalau aku sendiri pun tidak pernah buat, itu aku mengaku lah :P

Tetapi semua itu ada hadnya. Takkan lah hendak buat sepanjang masa begitu. Kadang-kadang terfikir juga berkat atau tidak rezeki yang diterima. 

Ada orang kata - " Alah, balik saja lah. Bukannya ada orang di pejabat, tak ada kerja pun. Baik balik tengok televisyen "

Memang lah tidak ada kerja pun sebenarnya tetapi aku suka duduk di pejabat masa-masa begini. Sunyi. Nasib baik ada internet. Risau juga tidak ada sebab dalam dua hari sebelum cuti panjang, internet buat perangai satu agensi. Nasib baik elok. Kalau tidak, mati kutu juga apa yang hendak dibuat di pejabat :)

Macam pengurus lama aku pernah cakap - " Tak apa kalau tak ada kerja di pejabat. Saya faham, bukannya kita banyak kerja macam bahagian lain tapi duduk saja lah di pejabat. Nanti orang tak mengata bukan-bukan "

Yelah, kadang-kadang nakal juga. Aku pergi juga mengular tetapi masih ditulis borang kebenaran keluar untuk dijadikan bukti yang aku keluar. Aku tidak akan keluar macam begitu sahaja. Ada juga kesedaran diri.

Tetapi, sudah namanya pun kerja. Duduk sahaja lah diam-diam di pejabat.

Ada yang komen - " Alhamdulillah... rezeki berkat "

Amin Ya Rabb.

Aku tidak tahu berkat atau tidak, itu Allah punya kira-kira :)

Aku tahu ada segelintir akan sok sek sok sek berkata yang aku menunjuk-nunjuk. Lillah tidak. Ikhlas aku cakap. Macam aku ikhlas datang ke pejabat sampai ke hari ini.

Ikhlas.

Ikhlas itu subjektif. Terpulang kepada pihak yang menilai. Kalau kita rasa kita sudah habis ikhlas, belum tentu orang lain pun berfikiran yang sama.

Kadang-kadang, sengaja aku menulis status begitu sebagai peringatan untuk aku kemudian hari. Yelah, kita manusia kan, ada kalanya terlupa. Jadi, anggap sahaja status itu untuk peringatan kepada diri sendiri.

Fikir positif sahajalah ya? :)




" Dan Dialah Allah (yang disembah dan diakui kekuasaanNya) di langit dan di bumi; Dia Mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan dan Dia juga Mengetahui apa yang kamu usahakan "
[ Surah Al-An'aam : 3 ]



* Oh oh oh, minggu depan sudah mahu pergi ke bengkel kajian kes di Genting Highland (*____*)
 
Write without regret by Devil Inc. at 5:17:00 PM, Friday, August 17, 2012
Diam tak diam, hari raya menjelma lagi. Aku terfikir mahu meluangkan masa menulis satu dua entri berkenaan puasa dan hari raya yang bakal menjelma tetapi entah kenapa, rasa malas bermaharajalela. Penyudahnya, satu apapun tidak ditulis :D

Jujurnya, aku tidak punya mood untuk berhari raya tahun ini - sama seperti tahun lepas dan tahun sebelumnya. Ini Hari Raya Aidilfitri yang kedua aku sambut di sini.

Aku lebih sukakan bulan Ramadhan lebih dari bulan yang lain sebab aku sukakan ketenangan yang ada dalam bulan Ramadhan ini. Syawal sepatutnya adalah bulan untuk bergembira tetapi entah mengapa perkataan gembira itu makin pudar untuk aku. 

Entahlah, semangat untuk berhari raya itu sudah hilang sebenarnya untuk aku sejak abah pergi dua tahun lepas. Kebetulan dia pergi masa hari raya, jadi hari raya yang mendatang tidak membawa erti lagi bagi aku. Bagi aku, hari raya cuma menambahkan kesedihan aku, mengingatkan aku bahawa aku kehilangan seseorang ketika itu.

:'(

Dan hari ini, genap 715 hari abah pergi meninggalkan kami. Lompong yang ditinggalkan bukan kecil saiznya, rasanya tidak pernah berubah dari hari pertama pemergian dia :'(

 
 * Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya ke atas roh abah :'(


Selamat Hari Raya Aidilfitri buat teman-teman yang mengenali. Semoga Aidilfitri kali ini membawa seribu satu rahmat buat kalian semua :')






 
Write without regret by Devil Inc. at 5:43:00 PM, Thursday, August 9, 2012
Hidup ini sebenarnya tidak akan sesempurna perancangan kamu. Kadang-kadang, ada kelok di tengah jalan.

Tadi, bersembang dengan seseorang tentang darjat. 

Kata aku - " Kadang-kadang kita kena sedar diri, di mana letak duduknya kita. Kita fikir kita sama tinggi, sama rendah, sama sedarjat tetapi hakikatnya tidak begitu "

Dan seperti yang disangka, jawapan si teman tetap klise; seperti yang lain - " Tak ada apa darjat pun, manusia sama di sisi Tuhan. Darjat-darjat semua ini alasan manusia sahaja "

Kita semua sama di sisi Tuhan.
 
Ah, semua orang akan berkata perkara yang sama. Klise.

Benar, kita semua sama akhirnya nanti. Tetapi ini kisarnya di dunia, bukan di hujung sana :)

Lalu aku membalas - " Benda rumit kalau hendak dirungkaikan begitu sahaja, bukan sesenang yang disangka. Belum tentu epilog sesempurna prolog "

Belum tentu epilog sesempurna prolog

 Dia diam.

 Aku? Kaku memandang papan kekunci. Tidak ada lanjutan bicara lagi.


 
Write without regret by Devil Inc. at 4:27:00 PM, Wednesday, August 8, 2012
Hoih, ini bukan artikel serius. Heh.

Semalam, ada seseorang berbalas chatting dengan aku. Katanya :

" My heart just cant stand it anymore. I feel like to cry again. I hate myself than anyone else "

Aku cuma membalas :

" ... Menangis saja lah kalau itu yang awak mahu, kalau itu yang awak rasa. Kadang-kadang, air mata yang keluar itu boleh membuatkan mata awak tu melihat lebih jelas lagi "

*Aku memang suka berbahasa Malaysia penuh sejak akhir-akhir ini. Heh :D

 *Menangislah kalau itu yang kamu mahu :)


Aku pernah rapat dengan dia satu ketika dahulu. Banyak memori bersama dengan dia. Sudah lama tidak bersembang panjang dengan dia, baru dalam minggu lepas bersembang semula.

Jarak masa yang terlalu lama tidak berhubung, perubahan status antara kami memang membuatkan perbualan terbatas. Atau dengan erti kata lain - mati kutu apa yang hendak dibualkan :)

Aku rasa dia punya masalah, cuma tidak dapat diluahkan. Ego menggunung barangkali. Ah, persetankan sahaja masalah dia, tidak ada kena mengena lagi dengan aku pun sebenarnya.

Cuma kata-kata spontan aku kepada dia membuatkan aku terfikir kembali.

" ... Menangis saja lah kalau itu yang awak mahu, kalau itu yang awak rasa. Kadang-kadang, air mata yang keluar itu boleh membuatkan mata awak tu melihat lebih jelas lagi "

Aku pun, kadang-kadang rasa mahu menangis juga tetapi tidak punya air mata lagi. Menangis tengok cerita Korea adalah pula air matanya (-___-")
 
Write without regret by Devil Inc. at 9:38:00 AM,
Entah kenapa sejak akhir-akhir ini, aku teragak-agak untuk menulis. Bukan tidak ada cerita yang mahu dikisahkan tetapi entah kenapa aku seperti teragak-agak. Ditulis sepatah, dipadam balik pun sepatah. Akhirnya, satu apapun tidak ditulis (-________-")

Sekarang sudah masuk musim orang sibuk hendak buat penyediaan untuk Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang. Aku? Rasanya tidak ada apa-apa perbezaan untuk aku. Tahun ini serasanya masih di sini. Jadi tidak akan ada apa-apa persiapan memandangkan hanya kami anak beranak sahaja di sini.

*Makan Pizza Hut di pagi raya pun best juga :D

Dan oh, sekarang juga hampir dengan musim perkahwinan. Ada seorang dua sudah menjemput datang ke kenduri tetapi malangnya, aku tidak dapat hadir (╥_╥)

Bila bercerita tentang perkahwinan, entah kenapa dari kecil lagi aku fikir satu ayat sahaja - KEHILANGAN. Serius.

KEHILANGAN.

Aku ingat lagi semasa perkahwinan abang aku, anak nombor tiga. Aku masih dalam Darjah Empat kalau tidak silap ketika itu. Fikiran pun masih keanak-anakan. Ketika itu, aku memang bencikan kakak ipar aku. Semasa abang aku dalam zaman bercinta, dapat lah juga hadiah kecil-kecil tapi aku conteng-contengkan sahaja pemberian itu. Aku tidak sukakan kakak ipar aku [ semasa itu, bakal kakak ipar lah ].

Sebabnya cuma satu - aku rasa aku akan kehilangan abang aku. Aku fikir, kalau dia sudah berkahwin nanti, dia akan jadi hak milik orang lain. Kalau dia sudah berkahwin nanti, dia tidak akan balik ke rumah seperti biasa. Kalau dia sudah berkahwin nanti, mesti dia tidak akan pedulikan aku lagi, sibuk dengan keluarga dia. Yalah, adat si anak bongsu, mahukan semua perhatian untuk dia.

Aku ingat lagi aku buat tidak peduli dengan kakak ipar aku kalau dia datang ke rumah. Tidak mahu bercakap bila ditanya. Sengaja meminggirkan dia. Tetapi lama kelamaan, aku sendiri boleh terima hakikat yang abang aku sudah berkahwin. Itupun selepas setahun lebih :)

Walaupun begitu, aku tetap seriau bila memikirkan tentang perkahwinan. Perkataan kehilangan itu tetap sinonim dengan perkahwinan bagi aku.

Jujur, aku sangat mementingkan sesuatu ikatan - tidak kira persahabatan atau kekeluargaan. Bagi aku, perkahwinan seharusnya tidak memutuskan ikatan, malah seharusnya mengembangkan lagi ikatan. Itu bagi aku.

Pengalaman sebenar : Aku sanggup memutuskan ikatan cinta aku hanya kerana si dia tidak dapat menerima keluarga aku seadanya.

Tetapi, lama kelamaan, aku rasa macam teori Pitagoras perkahwinan aku itu ada betulnya.

Ramai saudara mara, sepupu, kawan-kawan sekolah yang sudah berkahwin, dan nyata, semuanya bagai mengiakan teori aku.

Sebelum berkahwin, semuanya bermulut manis - " Selepas berkahwin, aku tetap akan jadi orang yang sama "

Tetapi yang sebaliknya berlaku.

Bila sudah berkahwin, aku faham, ada hati yang perlu dijaga, ada kata yang perlu diturut perintahnya tetapi aku tidak rasa orang sekarang ini berfikiran kuno sangat sampai mahu dikongkong segala untuk pasangannya.

Kongkongan itu perlu tetapi aku rasa ada hadnya. Kalau tidak, lebih baik dicop pak turut dan mak turut. Bagai burung belatuk, mengangguk sahaja.

Okey, mungkin aku berfikiran moden sedikit. Alah, aku tahu kamu, kamu dan kamu akan berkata - " Tak kahwin lagi, boleh lah cakap. Nanti sudah kahwin, baru tahu "

Tetapi jujur aku kata, aku rasa cuba ada baiknya kekalkan perhubungan yang ada walaupun setelah kamu berkahwin.

Perkahwinan itu bukannya pemutus perhubungan tetapi penyambung perhubungan.


 
Write without regret by Devil Inc. at 8:42:00 AM, Wednesday, August 1, 2012
Entri serius.

Jujur, kadangkala aku terfikir :

Mengapa mesti berubah bila sudah dapat teman baru?
Mengapa mesti berubah bila sudah belajar tinggi-tinggi?
Mengapa mesti berubah bila sudah ada gaji besar?
Mengapa mesti berubah bila sudah berkahwin?

Mengapa? 


Kamu ada jawapannya? :)